suria

Sepasang Suami Isteri Ditahan Bersama 380 Biji Pil Dadah

BESUT: Sepasang suami isteri ditahan bersama 384 biji pil khayal dalam serbuan di rumah pasangan itu di Kampung Alor Pisang, Kuala Besut pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata polis yang bertindak berdasarkan maklumat awam menyerbu rumah suspek pada 5.10 petang, Rabu.

Katanya ketika serbuan dilakukan anggota Cawangan Bahagian Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Besut, pasangan itu berada di dalam rumah tersebut.

"Si suami berumur 35 tahun bekerja sebagai nelayan manakala isterinya yang berumur 28 tahun merupakan seorang tukang jahit," katanya.

Polis menemui 20 biji pil berwarna kemerahan dipercayai dadah dibungkus dalam kertas disorokkan di dalam kipas angin di bilik tidur suspek dan 360 biji termasuk empat biji lagi pil berwarna kehijauan ditemui disorokkan dalam bakul di bahagian dapur.

Beliau berkata sebuah kereta jenis Proton Gen 2 bernilai RM25,000, sebuah motosikal jenis Yamaha bernilai RM5,000 dan wang tunai RM1,665 antara harta yang dirampas mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.

Kamaruddin berkata kedua suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 39A(2)Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain