suria

Ibu Anak Empat Didakwa Cederakan Jiran

MELAKA: Seorang ibu beranak empat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis terhadap tuduhan mencederakan jirannya menggunakan kayu.

Norlilah Md Shariff, 46, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Rosni Mahmud, 50, di belakang sebuah rumah di Kampung Bachang, pada 8.30 pagi 24 Januari lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM9,000 kerana tertuduh menyebabkan mangsa mengalami cedera di lengan kanan ketika kejadian.

Bagaimanapun, Norlilah yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ishak Kari merayu mahkamah mengurangkan wang jaminan tersebut atas alasan anak guamnya yang berniaga kecil-kecilan perlu menanggung empat anak.

Katanya suami tertuduh juga diisytiharkan muflis pada 2003.

Hakim Zaharah Hussain kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes. BERNAMA

Artikel Lain