suria

Isu Kalimah Allah Perlu Ditangani Dengan Cermat & Tidak Dibahas Secara Terbuka - Tengku Abdullah

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah isu kalimah Allah, yang kini menjadi polemik semasa, perlu ditangani dengan cermat dan tidak sepatutnya menjadi perbahasan terbuka.

Titah baginda ia perlu dibincang secara tertutup di kalangan ilmuan, ahli agama dan pemimpin politik.

Baginda juga menyeru umat di negara ini supaya berdiri teguh mempertahan kalimah Allah dan kalimah lain yang telah dinyatakan tidak boleh digunakan bukan Islam sama ada di media elektronik dan cetak.

"Pihak lain seharusnya mengambil perhatian serta menghormati sensitiviti agama masing-masing agar kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama tidak tergugat," titah baginda pada majlis pelancaran dan penyerahan dana Tabung Palestin-Gaza di sini, Selasa.

Baginda bertitah di negeri Pahang, larangan penggunaan, penyataan, penyebaran, percakapan, apa-apa bentuk penerbitan sama ada media cetak atau eletronik menggunakan kalimah Allah oleh orang bukan Islam yang boleh mengelirukan atau memesongkan akidah umat Islam telah termaktub dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam No. 5 tahun 1989.

"Majlis Fatwa Kebangsaan dalam Muzakarah ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 juga mengeluarkan fatwa bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam dan adalah wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah itu, ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," titah baginda. -BERNAMA

Artikel Lain