suria

Anwar Nafi Terlibat 'Projek IC'

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau terlibat dalam isu pemberian kerakyatan kepada warga asing di Sabah semasa berada di dalam kerajaan Persekutuan.

Malah Ketua Pembangkang itu berkata beliau sedia untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Diraja (RCI) yang menyiasat mengenai pemberian status warga negara kepada pendatang asing di Sabah.

"Saya (boleh) jelaskan...tak ada masalah, tak ada masalah sama sekali. Saya tahu bagaimana (projek ini) berjalan, saya tahu lama mengenai perkara ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Rabu.

Mengulas lanjut, Anwar yang memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri di era Dr Mahathir sejak 1993 hingga 1998 sebelum dipecat daripada kerajaan bagaimanapun mengakui mengetahui mengenai kewujudan dakwaan 'Projek IC'.

"Ia dibawah (pengetahuan) Perdana Menteri (Dr Mahathir). Dua orang yang dipertanggungjawabkan itu ialah (Setiausaha Politik Dr Mahathir), (Tan Sri Abdul) Aziz Shamsuddin dan (bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri), (Tan Sri) Megat Junid (Megat Ayub)

"Perkara ini tidak melalui proses Kabinet, tidak melalui Kementerian Kewangan tapi dibawah tanggungjawab penuh Perdana dan Menteri Dalam Negeri katika itu.

"Masa saya memangku jawatan selama dua bulan itu pun, tidak dilapor kepada saya soal ini," katanya.

Isu ini timbul apabila bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, Ramli Kamarudin ketika memberi keterangan kepada RCI berhubung kes ini mendakwa kerajaan pada ketika itu terlibat memberikan kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Ramli mendakwa menerima arahan daripada Megat Junid agar mengeluarkan resit bagi membenarkan pendatang asing di Sabah mengundi pada pilihan raya negeri itu pada 1994.

'Projek IC' merujuk kepada dakwaan 'projek rahsia' untuk mengubah demografi Sabah dengan memberi kad pengenalan kepada rakyat asing.

Sementara itu ditanya sama ada beliau takut mengenai dakwaan Timbalan Presiden Parti Keadilan (PKR), Mohamed Azmin Ali bahawa Umno akan menggunakan isu siasatan RCI untuk mengaitkannya, Anwar berkata beliau tiada masalah mengenainya.

"Saya tak percaya saya patut takut. RCI ialah sebuah unit bebas, profesional dan telus, saya tak takut langsung.

"Anda boleh semak dengan semua bekas Ketua Setiausaha Negara, semua bekas Pengarah Majlis Keselamatan Negara. Saya tak ada kena mengena ataupun terlibat dalam mana-mana mesyuarat dengan pihak berkuasa membabitkan isu yang dibincangkan oleh RCI sekarang ini," katanya.

Artikel Berikut

1.14 Juta Sertai Skuad Muda KDN

Artikel Lain