suria

Tukar Selangor, Kekalkan BN Di Putrajaya - PM

KLANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu meminta rakyat Selangor supaya mengubah kepimpinan kerajaan negeri Selangor kepada Barisan Nasional (BN) selain mengekalkannya sebagai kerajaan Persekutuan di Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Jangan ubah kerajaan Persekutuan, ubah kerajaan negeri (Selangor). Kita ubah (kerajaan) di Selangor, kekalkan BN di Putrajaya," katanya semasa berucap pada Himpunan Rakyat Pesta Ponggal 2013 di Padang Cetti di sini.

Beliau berkata jika pembangkang mengajak rakyat mengubah kerajaan, rakyat Selangor telah pun berbuat demikian dengan memilih kepimpinan pakatan pembangkang sebelum ini.

Namun, beliau meminta rakyat Selangor untuk menilai sama ada pemerintahan kerajaan pakatan pembangkang itu benar-benar boleh menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi mereka termasuk masyarakat India di negeri ini.

Perkara itu ketara apabila kerajaan pakatan pembangikang gagal menyelesaikan banyak masalah di Selangor seperti bekalan air bersih dan kutipan sampah selain tidak mengotakan banyak janjinya dalam Manifesto Pilihan Raya 2008.

Beliau berkata antara janji yang tidak ditunaikan Kerajaan negeri Selangor ialah pemberian elaun kepada ibu tunggal.

"Pembangkang di Selangor kata nak buat macam-macam untuk Sekolah Tamil tapi 'elek' (tiada dalam Bahasa Tamil). Saya boleh sebutkan satu per satu Sekolah Tamil yang kita bantu," katanya.

Selain Sekolah Tamil, Najib berkata kerajaan juga membantu badan bukan kerajaan (NGO) India seperti Sri Murugan Centre (SMC) meningkatkan tahap pendidikan dalam kalangan masyarakat India.

Perdana Menteri sudah lebih empat tahun rakyat Selangor tertipu dengan janji manifesto pakatan pembangkang dan beliau melabelkan janji pembangkang sebagai "Janji Kampung Buah Pala" sempena sebuah kampung di Pulau Pinang, di mana kerajaan pembangkang gagal mengotakan janjinya untuk memastikan ia tidak diambil pemaju.

"Kita jangan kena tipu, kita boleh kena tipu sekali tetapi jangan berkali-kali. Jangan nak merendahkan intelek kaum India untuk berfikir," katanya.

Najib berkata jika BN diberi mandat mentadbir negeri Selangor, kerajaan pimpinan BN akan memastikan negeri ini lebih hebat, maju dan berjaya.

Perdana Menteri juga berkata sepanjang empat tahun lepas, BN telah banyak membantu kaum India seperti bantuan kepada sekolah-sekolah Tamil, skim mikro-kredit dan peningkatan kemasukan pelajar-pelajar India ke matrikulasi.

Walaupun pendekatan kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat termasuk kaum India sudah berubah, Najib berkata beliau tidak boleh mengatakan masalah itu telah selesai.

"Ia bagaikan sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di mana rangka-rangkanya telah dibangunkan, cuma kerajaan memerlukan mandat dari rakyat bagi menyiapkan rumah itu sehingga tercapai Wawasan 2020 di mana Malaysia akan berstatus negara maju berpendapatan tinggi," katanya.

Beliau memberi jaminan jika kekayaan negara meningkat, ia akan diagih-agihkan kepada rakyat.

Artikel Sebelum

Artikel Lain