suria

Medan Minyak Bertam: NGO Serah Memo Tuntut Petronas Beri Penjelasan

KUALA LUMPUR: Satu memorandum menuntut hak dan kedaulatan medan minyak di Blok PM307 Bertam telah diserahkan kepada Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada Jumaat.

Memorandum dua muka surat itu dihantar oleh sekumpulan rakyat Terengganu anjuran Gabungan Tuntutan Royalti dan Hak Bertam bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 'R' (Royalti) Kelantan dan Terengganu.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang mengetuai rombongan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad berkata, memorandum itu dihantar bagi menuntut penjelasan dan pengesahan daripada pihak Petronas Carigali Sdn Bhd berhubung status hak milik ke atas penemuan kawasan minyak berkenaan.

"Kerajaan Terengganu menerima surat daripada syarikat Lundin Oil (syarikat cari gali yang berpangkalan di Sweden) yang melaksanakan kerja-kerja cari gali di kawasan berkenaan (dengan kerjasama Petronas Carigali) mengesahkan bahawa ia adalah di kawasan perairan Terengganu.

"Berdasarkan jawapan ini kami ingin sekali lagi mendapat pengesahan daripada pihak Tan Sri mengenai Blok PM307 Bertam ini yang terletak di luar pantai Semenanjung antara Terengganu dan Pahang," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan lobi Menara 2 Petronas, bangunan KLCC.

Menerima memorandum tersebut ialah Pengurus Besar Perhubungan Awam Petronas, Datuk Mohammad Medan Abdullah.

Blok Bertam P307 menjadi pertikaian apabila Perdana Menteri yang juga ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan ia terletak dalam wilayah negeri Pahang.

Najib berkata Pahang dijangka akan menerima wang ehsan sekitar RM100 juta setahun bergantung kepada anggaran pengeluaran apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.

Namun sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu diberitahu ia terletak dalam kawasan negeri Terengganu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain