suria

Semua Parti Perlu Dapat Akses Media Bebas, Adil - Pemantau Pilihan Raya Muslim Amerika

SUBANG JAYA: Jawatankuasa Pemantau Pilihan Raya Muslim Amerika pada Khamis mencadangkan agar semua parti diberi peluang sama rata untuk mendapat liputan media arus perdana di negara ini.

Salah seorang ahli jawatankuasa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Dr Inayat Malik berkata, syor tersebut merupakan perkara kritikal yang perlu diberikan penekanan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan pada tahun ini.

"Sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi perlu menjamin akses kepada media arus perdana dengan bebas dan adil bagi semua parti tidak kira kerajaan mahupun pembangkang.

"Saya sedari di Malaysia, perkara seperti ini tidak berlaku. Parti pembangkang dinafikan hak mereka untuk mendapat liputan media cetak dan elektronik arus perdana," katanya yang ditemui pemberita di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Beliau bersama dua lagi ahli jawatankuasa pertubuhan itu iaitu Dr Mirza Baig dan Mazen Asbahi berada di Malaysia sejak Isnin lalu untuk mendedahkan hasil penemuan mengenai proses pilihan raya di negara ini.

Dr Inayat berkata, pendekatan akses kepada media arus perdana secara bebas dan adil merupakan perkara asas bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi bebas.

"Sebagai contoh di Amerika Syarikat (AS), mana-mana parti berhak mendapat liputan media. Malah, syarikat media cetak dan elektronik di sana juga tidak takut jika lesen mereka digantung sekiranya mengkritik kerajaan," katanya.

Sementara itu, bagi memperbaiki proses sistem pilihan raya di negara, Dr Inayat turut mengesyorkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan daftar pengundi secara elektronik.

Malah, katanya, SPR juga perlu mewujudkan sistem pengesahan dengan memperoleh data daripada semua parti bagi menentukan ketulenan pengundi baru.

"Perkara-perkara seperti ini yang perlu diperbaiki oleh SPR untuk menyakinkan rakyat bahawa pilihan raya yang akan diadakan nanti dijalankan secara telus dan adil," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan pelawaan daripada SPR untuk menjadi pemantau pada PRU-13 akan datang.

"Kami amat gembira dan akan menghantar wakil jika diberi peluang untuk menjadi pemantau proses pilihan raya di negara ini," katanya.

Beliau berkata, mereka telah bertemu dengan SPR berhubung perkara itu tetapi tawaran mereka ditolak.

Ketiga-tiga ahli jawatankuasa itu datang ke Malaysia atas pelawaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Inayat memberitahu pertubuhan itu tidak memihak kepada mana-mana parti, bersikap neutral dan hanya menjalankan tugas mereka walaupun menerima jemputan dari Anwar.

"Tanpa mengira jemputan daripada mana-mana parti, kami sentiasa bersikap adil dan saksama serta sekadar ingin melakukan pemerhatian menjelang pilihan raya akan datang," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain