Niosh Gesa Ubah Sikap Pemanduan Untuk Kurangkan Kemalangan Jalan Raya - Semasa | mStar

Niosh Gesa Ubah Sikap Pemanduan Untuk Kurangkan Kemalangan Jalan Raya

KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) hari ini menegaskan mengenai perlunya mengubah sikap tidak sabar dan "budaya tergesa-gesa" dengan memecut dan mencelah masuk dan keluar lorong trafik, menyatakan ia faktor utama menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu kenyataan berkata kempen keselamatan jalan raya, walaupun perlu, tidak akan berhasil kecuali pengguna jalan raya belajar untuk mematuhi peraturan asas keselamatan dan adab pemanduan dan mengubah sikap tidak bertanggungjawab dan angkuh semasa di jalan raya.

"Terdapat orang yang tidak mengambil iktibar daripada gambar-gambar kereta hancur, mayat, mangsa yang merintih dan keluarga mereka yang bersedih.

"Niosh memandang serius kekerapan laporan kemalangan yang mengakibatkan kematian dan kecederaan yang bukan sahaja tragik kepada keluarga terlibat tetapi juga menyebabkan kehilangan tenaga kerja negara," katanya.

Lee berkata peningkatan jumlah kematian dan kecederaan dalam kemalangan raya dalam tempoh beberapa minggu lepas amat membimbangkan.

Semalam, dua pekerja kilang maut dan 17 lagi cedera apabila bas yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta sebelum terbabas dan terbalik ke kawasan semak di Km150.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Nibong Tebal.

Kemalangan itu berlaku dalam tempoh kurang seminggu selepas kemalangan pertama yang berlaku kira-kira 20 kilometer dari tempat itu.

Pada Selasa, seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun maut selepas diseret sejauh hampir 10 kilometer oleh sebuah kenderaan yang lalu selepas dia terjatuh selepas kereta dipandu bapanya terbabas.

Kemalangan berlaku di Km168 PLUS dekat Bandar Baru. Kanak-kanak itu tercampak dari kereta apabila bapanya cuba mengelak daripada melanggar seekor anjing.

Tubuh kanak-kanak itu diseret di lebuh raya itu sebelum tertanggal daripada bahagian bawah kenderaan itu dekat kawasan rehat Sungai Bakap di lebuh raya itu.

Menurut Lee, sebanyak 728 kematian direkodkan pada 2008, 759 kematian pada 2009, 720 kematian pada 2010 dan 805 kematian pada 2011.

Beliau berkata kemalangan jalan raya dapat dielakkan jika seseorang itu mementingkan keselamatan jalan raya dan menghargai nyawa sendiri dan orang tersayang.

"Mudah untuk bercakap mengenai keselamatan tetapi adakah semua orang komited dengannya. Sering kali keselamatan tidak membawa sebarang makna sehingga tragedi berlaku, ketika itu sudah terlambat untuk mengubahnya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain