suria

Jumlah Dan Kaedah Jualan Murah Premis Akan Dikaji Semula - Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengkaji semula jumlah aktiviti jualan murah yang boleh dijalankan dan ketetapan yang perlu dipatuhi oleh premis dan peniaga di negara ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ketetapan seperti notis, kenyataan atau kelulusan yang perlu dipamerkan, lokasi dipamerkan dan beberapa perkara lain juga akan diperincikan agar pengguna tidak terpedaya dengan iklan jualan murah yang menjanjikan harga istimewa.

Katanya sehingga 30 November tahun ini, 11,695 premis telah diperiksa oleh pihak penguat kuasa KPDNKK di seluruh negara selepas menerima 118 aduan berhubung isu itu serta mencatatkan nilai rampasan sebanyak RM375,469.03.

"Saya telah minta untuk mengkaji semula kerana terlampau banyak jualan murah sehingga 8 kali setahun, hampir sepanjang masa. Pengguna pun ragu, sama ada betul atau tidak jualan murah tersebut kerana terlampau banyak.

"Mereka boleh memohon sehingga lapan kali, tetapi kebanyakannya memohon untuk empat kali atau lima kali. Jadi kita kaji semula sama ada perlu atau tidak kita benarkan sampai lapan kali," katanya pada sidang media selepas mengumumkan 13 jenis barangan terkawal di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2012 di sini Rabu.

Ismail Sabri berkata premis yang mahu mengadakan jualan murah terlebih dahulu perlu mendapatkan kelulusan kementerian itu dengan mengemukakan segala butiran yang diperlukan.

Peniaga yang menjalankan aktiviti jualan murah tanpa kelulusan boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun mengikut Akta Perihal Dagangan.

Antara syarat bagi menjalankan aktiviti jualan murah ialah peniaga perlu memastikan bahawa tidak kurang dari 70 peratus daripada barangan yang dipamer peniaga perlu mengemukakan harga barangan sebelum dan ketika jualan murah diadakan, serta jualan murah perlu diadakan sekurang-kurangnya selama sebulan.

"Di bawah Akta Perihal Dagangan, mereka (peniaga) mesti mendapat kebenaran daripada kita.

"Kedua, senarai produk yang hendak dijual secara jualan murah mesti mendapat kelulusan bersama senarai harga baru dan lama. Mereka wajib meletakkan harga lama dan baru bagi produk-produk yang mereka jual," jelasnya.

Menurutnya sebanyak 1,998 premis telah memohon kebenaran untuk menjalankan aktiviti jualan murah hujung tahun ini dan tindakan tegas tetap diambil terhadap premis yang gagal berbuat demikian. - BERNAMA

Artikel Lain