suria

Calon PM Pilihan Pakatan Pembangkang Masih Jadi Persoalan

GEORGE TOWN: Siapa yang akan menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang masih menimbulkan persoalan besar.

Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam pada ucapan perasmian Kongres Kebangsaan DAP di sini Sabtu berkata, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim harus dilantik sebagai Perdana Menteri.

Parti itu, katanya, akan memberikan sokongan padu kepada Anwar untuk memimpin negara.

Sokongan Karpal kepada Anwar sebagai Perdana Menteri memberi tamparan hebat kepada PAS yang dengan jelas pada perhimpunan muktamarnya bulan lalu menamakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepatutnya menjadi Perdana Menteri.

Anwar dan Hadi bagaimanapun tidak hadir pada majlis perasmian kongres.

Malah, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga tidak kelihatan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman serta ahli jawatankuasa PKR negeri Datuk Abdul Malik Abul Kassim antara yang hadir.

Bagaimanapun, Mustafa memberi pendirian berbeza berbanding sekutunya, DAP.

"PAS tidak mendedahkan pendapatnya secara terbuka. Lebih baik ia diumumkan selepas pilihan raya umum kerana Perdana Menteri mestilah wakil calon," katanya.

Beliau berkata, ia merupakan pilihan DAP untuk menyatakan sokongan kepada Anwar.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu memberitahu perkara itu perlu dibincangkan kepimpinan Pakatan sebaik saja mereka memenangi pilihan raya umum.

Beliau tidak menyatakan dengan jelas sama ada Anwar harus dilantik menjadi Perdana Menteri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain