suria

Laporan LondonCabs.co.uk Bukan Gambaran Menyeluruh Industri Teksi Negara

KUALA LUMPUR: Laporan yang menyatakan perkhidmatan teksi di Malaysia adalah terburuk di dunia tidak mencerminkan gambaran menyeluruh industri teksi di negara ini, persidangan Dewan Negara diberitahu Khamis.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata kaji selidik yang dilakukan hanyalah terhadap perkhidmatan teksi bandar atau bajet, dan hanya meliputi aspek penggunaan meter, serta keadaan teksi.

"Laporan itu juga berbentuk bebas tanpa diketahui kaedah 'sampling' yang digunakan. Ia dilakukan salah sebuah syarikat teksi di London dan tidak meliputi aspek secara keseluruhan industri teksi di Malaysia.

"Tambahan pula ada banyak syarikat teksi di London yang tidak membuat apa-apa kajian terhadap perkhidmatan teksi di negara ini," katanya menjawab soalan Senator Datuk Mohammed Najeeb Abdullah mengenai perkhidmatan teksi di Kuala Lumpur, yang dikatakan mempunyai reputasi pemandu teksi paling teruk di dunia, menurut LondonCabs.co.uk.

Ahmad berkata syarikat Airport Limo (M) Sdn Bhd menerima anugerah rating empat bintang oleh Skytrax, sebuah badan bebas yang menilai prestasi perkhidmatan lapangan terbang seluruh dunia, sejak tahun 2003 hingga sekarang.

"Melalui pengiktirafan ini, ia membuktikan bahawa kita mempunyai perkhidmatan teksi yang baik dan setanding dengan negara-negara maju lain kerana tidak ada mana-mana syarikat teksi lapangan terbang di dunia yang mendapat rating lima bintang," katanya.

Beliau berkata antara langkah drastik yang diambil Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mengubah landskap industri teksi tempatan menjadi lebih efisien dan berdaya maju ialah dengan memperkenal inisiatif Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma). BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain