suria

Kerajaan Kaji Semula Akta Muflis - PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967 yang dilihat terlalu ketat dan membebankan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, satu peraturan baru akan diperkenalkan bagi meringankan kaedah perlaksanaan undang-undang yang sedia ada.

"Undang-undang bankrap sekarang ini sangat ketat. Kadang-kadang seseorang itu hanya jadi penjamin sahaja.

"Jadi kerajaan akan kaji semula dan buat peraturan baru supaya dapat ringankan lagi cara untuk isytiharkan seseorang itu bankrap.

"Kita juga akan cuba cari jalan untuk lepaskan seseorang itu menjadi bankrap," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Agung Umno 2012 di sini, Sabtu.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, beliau sentiasa mendengar permintaan rakyat.

"Kita akan tolong...tapi bukan semua. Kita akan bantu mana yang boleh. Kita akan cuba bantu mereka.

"Kita dengar, sebagai parti yang dinamik, kita sentiasa prihatin," katanya.

Sebelum ini Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyeru kerajaan supaya memberi peluang kedua kepada golongan yang terjerat dalam hutang dan diisytiharkan muflis dalam usia muda.

Menerusi ucapan dasarnya pada Persidangan Pergerakan Pemuda, Kahiry menyifatkan mereka yang diisytihar muflis ini umpama dijatuhkan hukuman mati namun gagal diperingkat rayuan.

Khairy turut meminta kerajaan melonggarkan prosedur perlepasan supaya ianya lebih sejajar dengan negara-negara lain.

Artikel Lain