suria

Faktor Pengalaman Jadi Sebab Utama Rakyat Pilih BN - Maglin

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Kanan Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Maglin Dennis D'Cruz percaya faktor pengalaman akan menjadi sebab utama mengapa rakyat terus memilih kerajaan yang sama dan sedia ada dalam pilihan raya umum akan datang.

"Rakyat akan terus menyokong Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah kerajaan untuk rakyat sejak 55 tahun yang lepas. Rakyat mahukan kerajaan yang berpengalaman.

"Apabila pergi berjumpa doktor, mereka tidak akan pergi menemui seorang doktor yang baharu. Mereka akan mencari seorang doktor kanan kerana beliau lebih mengetahui tentang ubat yang mujarab.

Jadi bagi pilihan raya yang akan datang, tidak ada masalah bagi BN," katanya kepada pemberita semasa perhimpunan agung tahunan ke-59 PPP yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad.

D'Cruz yang juga Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menasihatkan rakyat terutama sekali golongan muda supaya berhati-hati dalam memilih parti yang betul dan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warga negara mengundi dalam pilihan raya umum. Beliau berkata negara ini akan berdepan 'nasib' yang sama seperti di beberapa buah negara di dunia yang menghadapi kesukaran selepas menyerahkan kerajaan mereka kepada orang yang salah dan ini tidak seharusnya terjadi di Malaysia. -BERNAMA

Artikel Lain