Lynas Mula Pengeluaran Di Kuantan - Semasa | mStar

Lynas Mula Pengeluaran Di Kuantan

MELBOURNE: Pelombong bumi nadir Australia, Lynas Corporation, akhirnya telah memulakan pengeluaran di kilang pemprosesan Malaysianya selepas menang perbicaraan mahkamah baru-baru ini.

Dalam satu kenyataannya Jumaat, syarikat itu berkata suapan pertama konsentrat bumi nadir telah disuap ke dalam relau Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Kuantan, Pahang.

Langkah itu adalah berikutan timbulnya kontroversi dan kelewatan disebabkan bangkangan kuat mengenai kemungkinan ancaman kepada kesihatan disebabkan pencemaran.

Satu Mahkamah Malaysia baru-baru ini menolak permohonan Kumpulan Selamatkan Hentikan Lynas bagi menyekat lesen mengendali Lynas tetapi cabaran perundangan itu masih diteruskan.

Lombong bumi nadir di Mt Weld di Australia Barat mengandungi elemen logam yang mempunyai pelbagai kegunaan seperti televisyen digital, pemain MP3 dan lampu kalimantang.

"Ini merupakan satu mercu tanda bagi Lynas."

"Operasi LAMP kini adalah satu realiti dan LAMP akan menyediakan data sebenar yang akan menjamin rakyat bahawa LAMP secara keseluruhannya adalah selamat bagi komuniti tempatan dan alam sekitar," kata Pengerusi Lynas Nicholas Curtis dalam satu kenyataan.

Ia akan memakan masa kira-kira dua bulan sebelum jualan pertama produk siap dilakukan dan menjana tunai. - BERNAMA

Artikel Berkaitan