suria

Tiada Elaun Untuk Anggota Parlimen Belia

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin dimaklumkan bahawa wakil Parlimen Belia tidak akan diberi sebarang elaun ketika menghadiri sesi Parlimen Belia yang akan ditubuh tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu berkata, langkah itu bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan di kalangan belia di negara ini.

"Wakil Parlimen Belia tidak akan diberikan apa-apa elaun pun, mungkin cuma makan, minum dan tempat penginapan sahaja (akan ditanggung).

"Kita nak pupuk nilai 'voluntarisme' di mana sukarelawan boleh digerakkan tanpa memikirkan untuk mendapatkan upah dan sebagainya," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 peringkat jawatankuasa di sini Isnin.

Gan berkata, perjalanan sesi Parlimen Belia itu berbeza daripada persidangan Dewan Rakyat yang terdiri daripada anggota kerajaan dan pembangkang.

Beliau berkata, sesi Parlimen Belia akan berlangsung dalam bentuk perbincangan dan enam jawatankuasa tetap akan ditubuh untuk menjadi pengantara dengan belia di negara ini.

"Mereka yang jadi wakil Parlimen akan berbincang di antara mereka tentang resolusi, topik dan usul yang akan dibawa antaranya berkaitan alam sekitar, keselamatan awam, pendidikan, pekerjaan atau hak asasi manusia," katanya.

Sementara itu, Gan berkata, Kementerian Belia dan Sukan telah mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Kewangan dalam usaha menggalakkan ibu bapa menyokong pembangunan sukan di kalangan anak-anak mereka.

Beliau berkata, antara cadangan itu ialah rebat cukai kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka menjalani program latihan sukan di akademi, sekolah sukan atau mengikuti latihan dengan jurulatih bertauliah.

"KBS juga mengalu-alukan cadangan daripada Yang Berhormat Jempol (Datuk Lilah Yasin) untuk memberikan hadiah atau insentif kepada ibu bapa yang menggalakkan anak-anak mereka menjadi atlet," katanya.

Persidangan Dewan disambung pada Selasa. - BERNAMA

Artikel Lain