suria

Industri Pertahanan Catat Nilai Pelaburan RM5 Bilion - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Pemain industri pertahanan tempatan dan antarabanga bergiat aktif dalam pelbagai projek pertahanan di negara ini dengan nilai pelaburan mencecah RM5 bilion, kata Menteri Pertahanan,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kerajaan amat komited untuk melihat industri pertahanan berkembang sesuai dengan jumlah permintan yang bertambah di rantau Asia.

"Ini terutama setelah mesyuarat Menteri Pertahanan Asean di Kemboja bulan lepas, yang memutuskan untuk meningkatkan kerjasama dalam industri pertahanan di kalangan negara anggota pertubuhan serantau itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan Malaysia (Mides) di sini Isnin.

Ahmad Zahid berkata, jemaaah Menteri telah meluluskan projek kilang, pusat pendidikan dan kemudahan pengeluaran industri pertahanan yang akan dibina di Perak dan kerajaan negeri sudah meluluskan tanah bagi pelaksanaan projek tersebut.

Mengulas pameran 'Indodefence 2012' di Jakarta bulan lepas, beliau berkata, penglibatan aktif industri pertahanan tempatan berjaya menarik minat syarikat antarabangsa untuk menjalin usaha sama.

Katanya, industri pertahanan Malaysia semakin maju melalui kerjasama strategik agensi kerajaan seperti Matrade dan Mida, dan ini membantu anggota Mides mempromosi serta memperluas perniagaan ke rantau Asia dan dunia. - BERNAMA

Artikel Lain