suria

Malaysia Pantau Penahanan Dua Rakyatnya di Lubnan

PUTRAJAYA: Malaysia sedang memantau perkembangan penahanan dua rakyatnya di Lubnan yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata dua orang rakyat Malaysia itu masing-masing berumur 28 dan 21 tahun, telah ditahan di Beirut oleh pihak berkuasa Lubnan, pada 18 Okt lalu.

"Buat masa ini, siasatan masih dijalankan oleh pihak berkuasa Lubnan dan Kementerian Luar sedang memantau perkembangan kes tersebut.

"Malaysia tidak menyokong mana-mana fahaman ekstremisme atau radikal yang boleh menjejaskan keselamatan sesebuah negara dan rakyatnya, dan dalam hal ini menghormati sepenuhnya undang-undang Lubnan," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Anifah berkata, kedua-dua mereka telah dihadapkan ke Mahkamah Tentera di Beirut pada 25 Oktober lalu dan pertuduhan terhadap mereka telah dibacakan. Mereka akan dihadapkan semula di mahkamah pada Isnin (29 Oktober).

"Kedutaan Malaysia di Beirut, Lubnan sedang mengambil langkah untuk bertemu dua rakyat Malaysia tersebut dan memberikan nasihat guaman," katanya.

Keluarga kedua-dua suspek juga telah dimaklumkan mengenai penahanan mereka, tambah beliau. -BERNAMA

Artikel Lain