suria

Mercy Malaysia Harap Kumpul RM360,000 Biayai Aktiviti Bantuan Kemanusiaan

KUALA LUMPUR: Mercy Malaysia berharap dapat mengumpul RM360,000 bagi membiayai aktiviti bantuan kemanusiaannya menerusi majlis makan malam amal tahunan yang akan diadakan di KL Hilton, di sini pada 9 November.

Setiausaha Kehormat Mercy Malaysia, Raja Riza Shazmin Raja Badrul Shah berkata, kos bantuan kemanusiaan semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan.

"Dana itu akan dikumpul di bawah Yasmin Ahmad Children's Fund (YACF) yang ditubuh pada 2009 untuk membantu kanak-kanak di seluruh dunia," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

YACF diwujudkan sebagai penghormatan kepada pengarah tersohor Allahyarham Yasmin Ahmad dan dana itu disalurkan kepada program dan projek khusus bagi kanak-kanak Mercy Malaysia.

Ini termasuk pemeriksaan pergigian bagi penghuni Rumah Nur Salam dan peralatan perubatan bagi Institut Paedatrik di Hospital Kuala Lumpur.

Raja Riza Shazmin berkata, majlis makan malam untuk mengumpul derma itu bertemakan 'Selamatkan Generasi Masa Depan Hari Ini' dan akan diserikan oleh keberangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, yang juga penaung Mercy Malaysia.

Sehingga kini, badan bukan kerajaan itu berjaya mengumpul RM72,300 hasil jualan meja dan sumbangan orang ramai serta badan korporat, dan berharap lebih banyak derma akan diterima menerusi pembelian meja pada majlis makan malam itu yang berharga sekitar RM3,000 hingga RM50,000 sebuah.

Orang ramai juga boleh menyumbang kepada Tabung Kemanusiaan Mercy menerusi akaun Maybank 5621-7950-4126. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain