suria

Sepasang Warga Emas Ditahan Proses Air Ketum

BESUT: Polis menahan tiga suspek termasuk sepasangan warga emas berusia 73 dan 70 tahun dan seorang lelaki berumur 35 tahun di Kampung Tembila dekat Kampong Raja di sini kerana disyaki terbabit dengan kegiatan memperoses air daun ketum.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Supt Noor Zainy Mohd Noor berkata atas maklumat yang diperolehi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah tanpa nombor di kampung berkenaan jam 3.00 petang semalam dan berjaya menahan suspek yang dipercayai sedang memperoses air ketum.

"Ketiga-tiga suspek termasuk sepasang warga emas itu ditahan untuk soal siasat di bawah Seksyen 30 Akta Racun 1952," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Dalam satu lagi kejadian polis turut menahan seorang suspek lelaki berumur 34 tahun di Kampung Kubang Ikan dekat kampong Raja kira-ira jam 10.30 pagi semalam kerana memiliki dadah.

Katanya bertindak atas maklumat awam polis yang menyerbu sebuah rumah tanpa nombor di kampong berkenaan berjaya menemui 20 biji pil dipercayai dadah yang disorokkan di dalam baju dan seluar suspek.

Turut dirampas sejumlah wang tunai RM182.00 dipercayai hasil jualan dadah kepada penagih tempatan dan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain