suria

Skuad Bantuan Krisis Perlu Diperluaskan Ke Negeri-Negeri Lain - Chor

ALOR SETAR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung berharap konsep kumpulan sukarelawan yang dikenali sebagai Skuad Bantuan Krisis (CRS) yang diwujudkan di kawasan perumahan di Kedah dapat diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Katanya CRS sudah menjadi satu amalan di banyak kawasan perumahan di Kedah sejak dimulakan di Sungai Petani lebih tiga tahun lalu, dan ia terbukti berkesan dalam pencegahan jenayah.

"CRS ini cukup positif. Pada mulanya ramai penduduk pun tak yakin, sebab hanya guna walkie talkie. Apabila ramai pemuda dan pemudi menyertai CRS, ia berkembang dengan cepat. "Walaupun hanya guna walkie talkie, tapi bila ada kecemasan atau rompakan mereka dapat tiba di tempat kejadian dengan cepat, malah lebih cepat daripada polis. Mereka tiada hak untuk pukul tetapi boleh tangkap," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Peruntukan Khas dan Bantuan Kecemasan bagi Parlimen Alor Setar di sini, Sabtu.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Alor Setar berkata terdapat lebih 400 CRS di negeri ini melibatkan 1,200 walkie talkie dan jumlah keseluruhan anggotanya hampir 3,000 orang.

"Di Alor Setar hampir semua taman perumahan ada. Yang menariknya penyertaan dalam CRS ini melibatkan semua kaum...Melayu, Cina, India semua ada. Kita kena galakkan lebih ramai lagi untuk menyertainya.

"Melalui cara ini, semangat sukarelawan akan wujud di kalangan rakyat. Ia adalah satu cara yang baik untuk pencegahan jenayah," katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan sama ada kerajaan pusat atau negeri supaya dapat membantu dari segi kewangan kerana ia melibatkan kos yang agak tinggi.

"Mereka ini melibatkan satu kumpulan besar. Satu walkie talkie kos RM300. Sukarelawan ini bukan ada elaun pun. Sebab itu saya (sebagai Anggota Parlimen) cadang nak beli insurans berkelompok.

"Mereka ni selalu cedera..naik motor nak pergi tempat kejadian. Wanita pun ramai," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain