suria

60 Peratus Restoran Francais Oldtown White Coffee Punyai Sijil Halal Jakim

KUALA LUMPUR: Sebanyak 60 peratus daripada 179 restoran francais Oldtown White Coffee di Semenanjung telah mendapat perakuan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Baki 40 peratus lagi sedang menunggu proses pengesahan halal dari jabatan itu, menurut pengerusi Oldtown Berhad Datuk Dr Ahmed Tasir Lope Pihie dalam kenyataan di sini Jumaat.

Katanya, syarikat itu menjangkakan pensijilan halal bagi kesemua 179 restoran francaisnya akan disempurnakan menjelang akhir tahun ini.

Dalam pada itu Old Town White Coffee memberi jaminan kepada pelanggan bahawa ia tidak menyajikan produk makanan yang tidak halal mahu pun menyajikan alkohol kepada pelanggan.

"Semua bekalan kami disediakan pembekal yang memiliki persijilan halal yang diiktiraf oleh Jakim, dan dikehendaki mengemukakan sijil halal yang sah bagi setiap bahan yang dibekalkan," katanya.

Beliau berkata, syarikat itu juga mempunyai sebilangan kafe yang turut dimiliki sepenuhnya oleh francaisi beragama Islam.

Ahmed Tasir berkata, pihaknya juga sentiasa berusaha mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim berhubung penyediaan makanan dan minuman kepada pelanggan beragama Islam.

"Terdapat dua kakitangan Muslim warganegara Malaysia bertugas pada setiap giliran di setiap restoran sebagaimana ditetapkan oleh Jakim," katanya.

Ahmad Tasir turut menegaskan syarikat itu tidak bersekutu dengan sebarang parti politik memandangkan Oldtown Berhad merupakan syarikat awam yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Saham Malaysia.

"Kami bekerjasama rapat dengan Cyber Security Malaysia dan Biro Aduan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memperbetul tuduhan-tuduhan yang dilemparkan secara dalam talian dan tidak akan teragak-agak untuk mendakwa mana-mana pihak yang berterusan memfitnah Oldtown White Coffee," katanya.

Sementara itu, Pengarah Hub Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff ketika dihubungi Bernama mengesahkan pemberian sijil halal itu, dan mengatakan baki permohonan syarikat Oldtown Berhad masih dalam proses kelulusan.

Beliau berkata, sebahagian permohonan masih berada pada peringkat tindakan pembetulan pihak syarikat dari segi pematuhan standard dan prosedur persijilan halal Jakim. - BERNAMA

Artikel Lain