suria

Curi Wang Majikan: Pembantu Rumah Indonesia Dipenjara Lima Bulan

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku mencuri wang tunai RM500 dan dompet milik majikannya, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor, dua minggu lepas.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin memerintahkan Cristian Hasibuan, 31, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 24 September lepas.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap di rumah Inspektor Wan Hasyeela Wan Muhammad di Pangsapuri Desa Aman 2, Pantai Dalam pada 10 pagi, 24 September lepas mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Wan Hasyeela menerima panggilan daripada pembantu rumah jirannya memaklumkan Cristian telah melarikan diri dan meninggalkan anak majikannya yang berusia 11 bulan seorang diri. Apabila Wan Hasyeela tiba di rumah, beliau mendapati anaknya berada dalam keadaan selamat, dan pemeriksaan mendapati biliknya diselongkar dan laci kabinet almari pakaian telah pecah serta jam tangan bernilai RM600, dompet, wang tunai RM500 dan pasport milik tertuduh hilang. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

481,424 Calon Duduki PMR Esok

Artikel Lain