suria

Penganggur Dituduh Bunuh Penoreh Getah

SUNGAI PETANI: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas tuduhan membunuh seorang penoreh getah di Ladang Bukit Lembu, Bedong, dekat sini bulan lalu.

S. Kanageswaran, 25, dari Taman Sari, Batu 2 di sini didakwa membunuh K. Kaliany, 55, dengan menembak menggunakan sepucuk pistol pada 11.45 malam, 17 Sept lalu di hadapan rumah mangsa.

Kanageswaran didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh yang kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 4 November depan sementara menunggu laporan kimia.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukor manakala tertuduh diwakili peguam R.S.N. Rayer. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain