suria

Pemungut Hutang Dipenjara 12 tahun, 25 Sebatan

KUALA LUMPUR: Seorang pemungut hutang dihukum 22 tahun penjara dan 25 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merompak seorang pemilik salun dan adik lelakinya Mac lepas.

Hakim S.M.Komathy Suppiah membuat keputusan itu terhadap Syed Mohd Nazrul Syed Zulkifli, 27, dari Setapak, selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Komathy mengenakan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 12 tahun serta 15 sebatan bagi pertuduhan kedua, dan memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak mulai hari ini.

Oleh itu Syed Mohd Nazrul akan menjalani hukuman 12 tahun penjara.

Dalam penghakimannya Komathy berkata mahkamah tidak mempercayai keterangan tertuduh yang mendakwa dia salah dikenal pasti oleh kedua-dua mangsa dan menafikan kedua-dua telefon bimbit yang dijumpai dari begnya adalah milik mangsa, Cassandra D Silva, pemilik salun.

Penjelasan tertuduh yang mendakwa kedua-dua telefon itu milik majikan dan diberi kebenaran untuk menggunakan telefon itu, dilihat tidak berasas kerana pegawai penyiasat dalam keterangannya berkata telefon itu milik Cassandra selepas mendapati terdapat gambar wanita itu di telefon ketika ianya dihidupkan.

"Keterangan tertuduh bahawa dia membawa kayu cota dalam beg bertujuan untuk melindungi dirinya yang sering menjadi mangsa rompakan juga dilihat tidak berasas dan tidak boleh dipercayai," kata hakim itu.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Mohd Nazrul didakwa bersama lima lagi yang masih bebas, merompak dua telefon bimbit milik Cassandra, 26, dan wang tunai RM1,800 serta barang kemas milik Jeffery D Silva, 22 dan menumbuknya di Jalan Doraisamy, Dang Wangi, pada 4.05 pagi, 31 Mac lepas.

Sementara itu, bapa kedua-dua mangsa, Louis L. Edward ketika diberi peluang memberi kenyataan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, memohon tertuduh dikenakan hukuman berat kerana beliau berpendapat tertuduh kelihatan tidak menyesal atas perbuatan yang dilakukan selain anggota keluarga mangsa turut trauma berikutan kejadian itu.

Jeffery, yang menerima 27 jahitan akibat luka di pipi kirinya, pula berkata parut di mukanya akan kekal seumur hidup dan beliau takut untuk keluar malam selepas kejadian itu selain hilang pekerjaan sebagai pengendali cuci kereta.

Timbalan Pendakwa Raya Shashita Mohamed Hanifa memanggil enam saksi manakala peguam Bernard Francis memanggil seorang, iaitu tertuduh sendiri, untuk memberi keterangan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain