KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rangka kerja atau Pelan Tindakan Kebolehpasaran Graduan akan dilancarkan hujung tahun ini bagi membantu siswazah menganggur mendapatkan
pekerjaan.
Beliau berkata setiap tahun hampir 180,000 graduan berkelulusan Diploma dan
Sarjana Muda menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi.
"Rangka kerja ini akan memberi tumpuan untuk memperkukuh kebolehpasaran
graduan. Dalam hal ini kerajaan akan menubuhkan Pasukan Petugas Kebolehpasaran
Graduan dengan peruntukan RM200 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan
2013 di Dewan Rakyat di sini, Jumaat.
Mengenai modal insan yang berpengetahuan, kreatif dan inovatif, Najib berkata program latihan akan dibentuk untuk mengasah kemahiran baharu selaras dengan keperluan industri masa depan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju.
Bagi tujuan itu, sejumlah RM3.7 bilion akan disediakan tahun depan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut memperuntukkan RM440 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman kepada
pelatih untuk menjalani latihan kemahiran.
Beliau berkata langkah ini akan dapat dimanfaatkan hampir 40,000 pelatih di
peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap satu hingga lima.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan memperuntukkan RM366 juta bagi
menaik taraf serta pembelian peralatan Institut Latihan Perindustrian dan
Institut Kemahiran Belia Negara.
Perdana menteri berkata pelbagai program latihan kemahiran akan dilaksanakan
selaras dengan matlamat mentransformasikan industri utama negara berteraskan
kepada teknologi, berinovatif serta berpendapatan tinggi.
"Ke arah ini, tumpuan akan diberi bagi melahirkan tenaga kerja profesional
dan berbakat dalam industri terpilih termasuk industri minyak dan gas,
perkapalan, teknologi maklumat (ICT), kreatif serta bioteknologi. Bagi tahun
2013 dijangka seramai 5,000 pelatih akan menyertainya," katanya.
Sementara itu, kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk
melatih 3,200 pelajar masyarakat India yang miskin dari estet-estet yang tidak
memperoleh keputusan baik dalam peperiksaan dan peluang pekerjaan melengkapkan
diri dengan kemahiran, selaras permintaan pasaran.
"Latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan Perindustrian dan
kolej-kolej di bawah Skim Latihan Dual Nasional," kata Najib.
Skim Latihan Dual Nasional adalah skim yang bertujuan melahirkan lebih ramai
pekerja mahir. BERNAMA