suria

Mimpi Negeri Kem Tahanan Buat Mangsa Langgar Lari

MELAKA: Dia dahulu merupakan penari tarian klasik yang gemar memakai sari tetapi kini merana di kem tahanan untuk pendatang haram.

Apa yang lebih malang apabila keluarga R. Murugan memikirkan bahawa dia sudah meninggal dunia selepas “hilang” pada tahun 2010 dan mereka tidak dapat menemuinya selepas pencarian begitu lama.

Murugan, 65, yang dilahirkan di Melaka dan dibesarkan di Port Dickson, sebenarnya merupakan mangsa kemalangan langgar lari dua tahun lalu dan dimasukkan ke Hospital Seremban.

Dia tidak mempunyai dokumen pengenalan ketika itu, maka dia akhirnya dibawa ke kem tahanan imigresen Tanah Merah di Kelantan.

Beberapa tahun lepas, beliau dipindahkan ke kem tahanan di sini selepas tahap kesihatannya merosot.

Seorang pekerja sosial, T. Kamalanathan, berjaya mengesan Murugan, yang dikenali sebagai Pahpa (bayi dalam bahasa Tamil), selepas dia diberitahu oleh beberapa warga asing bahawa terdapat lelaki yang sakit lebih gemar memakai pakaian wanita sedang mendapatkan bantuan.

Seorang pegawai imigresen di kem itu membenarkan saya untuk melawatnya. Tetapi Pahpa tidak boleh memberikan saya butiran lengkap kerana percakapannya tidak jelas selepas mengalami strok sebelum itu,” kata Kamalanathan.

“Dia beberapa kali memberitahu saya bahawa dia datang dari Port Dickson dan memberikan saya gambarnya,” katanya ketika ditemui di luar kem pada Selasa.

Akhirnya, Kamalanathan berkata, dia bertemu dengan seorang tukang gunting rambut dan dua pembantu restoran di Port Dickson yang mengenal pasti Pahpa sebagai bekas penari tarian kolattam dari Bandar Sunggala pada tahun 1980an.

“Beberapa penduduk tempatan turut mengenalinya,” tambanya lagi.

Kamalanathan berkata, dia beberapa kali berusaha untuk mencari anak saudara perempuan Pahpa, D. Shanty, 43, yang dimaklumkan bahawa bapa saudaranya masih lagi hidup.

“Bagaimanapun, saya diberitahu bahawa Pahpa tidak mempunyai sijil kelahiran.”

Kamalanathan berkata, dia akan mencari jalan untuk Pahpa dibebaskan dari kem tahanan itu selepas dia mengumpul dokumen seperti sijil persekolahan untuk menyokong status Pahpa sebagai rakyat Malaysia.

Dia turut menguruskan untuk menemukan Pahpa dengan Shanty pada Selasa.

Shanty berkata, bapa saudaranya menangis dan mahu memeluknya.

“Dia tidak boleh bercakap tetapi saya tahu apa yang dia cuba sampaikan. Dia sering kali mengatakan bahawa dia masih hidup dan meminta saya untuk keluar dari kem berkenaan,” tambahnya lagi.

“Beberapa ahli keluarga kami menjauhkan diri daripadanya tetapi saya sanggup untuk menjaganya,” kata Shanty, yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

Artikel Lain