suria

Kerajaan Sedia Kaji Tubuh Jawatankuasa Selaras Hukuman Rogol

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mengkaji cadangan mewujudkan Jawatankuasa Penyelaras Hukuman bagi memastikan mangsa rogol di kalangan gadis bawah umur mendapat perlindungan dan pembelaan yang sewajarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bagaimanapun berkata keputusan untuk mewujudkan jawatankuasa berkenaan perlu mendapat persetujuan badan kehakiman negara.

"Saya sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria. Dalam perjumpaan dengan beliau, kita sedang berbincang (cadangan wujud jawatankuasa). Keputusan ini sudah tentu mesti datang daripada pihak mahkamah kerana kita tak mahu mencampuri urusan mereka.

"Pada peringkat awal Ketua Hakim Negara telah berikan pandangan iaitu kemungkinan jawatankuasa tersebut boleh ditubuhkan sekiranya pihak Eksekutif bersetuju," katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bersedia mewujudkan Jawatankuasa Penyelaras Hukuman bagi menyelaraskan hukuman agar lebih konsisten terutama memastikan pembelaan sewajarnya kepada mangsa rogol gadis bawah umur.

Bagaimanapun Mohamed Nazri berkata sekiranya jawatankuasa itu diwujudkan, peranan yang bakal dilaksanakan hanya meliputi aspek penyelarasan hukuman dan bukannya bagi mengkaji semua hukuman yang sudah pun dijatuhkan.

"Kita tak boleh perbetulkan hukuman kerana dalam mahkamah, soal perundangan itu mesti muktamad.

"Bahayanya kalau kita ada jawatankuasa untuk kaji semula keputusan yang dijatuhkan oleh mahkamah-mahkamah kerana ia seolah wujud satu lagi peringkat yang lebih tinggi daripada mahkamah," katanya.

Baru-baru ini timbul kontroversi di kalangan masyarakat ke atas keputusan mahkamah yang beranggapan hukuman yang dijatuhkan kepada dua lelaki kerana merogol gadis bawah umur adalah ringan dan tidak setimpal dengan jenis jenayah yang dilakukan.

Sebelum ini Hakim Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, Sitarun Nisa Abdul Aziz membebaskan Chuah Guan Jiu, 22, yang dihakimi mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol teman wanitanya berusia 12 tahun, tahun lepas, setelah mengambil kira faktor usia tertuduh yang masih muda dan ini merupakan kesalahan pertamanya.

Isu yang sama timbul apabila Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Melaka terhadap satu lagi kes rogol, yang mana pemain boling kebangsaan Noor Afizal Azizan yang disabit di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah telah dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik kerana merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh Melaka pada 2009.

Artikel Lain