suria

Polis Tahan Anggota Rela Culik Warga Bangladesh

SERDANG: Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) ditangkap kerana terbabit dalam kes penculikan pekerja kilang warga Bangladesh di Pulau Indah, Klang minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Abd Razak Elias berkata anggota Rela yang juga pengusaha kedai makan berusia 32 tahun itu ditahan bersama seorang lagi warga Bangladesh yang merupakan bekas pekerjanya.

"Anggota Rela itu ditahan di Klang Isnin lepas, manakala bekas pekerjanya yang berusia 38 tahun ditahan di Seri Kembangan sehari kemudian," katanya pada sidang media, di sini Rabu.

Mengulas kejadian culik itu, Abd Razak berkata mangsa yang berusia 20-an diculik selepas dihubungi kawannya iaitu warga Bangladesh yang ditangkap tersebut, konon ada rakan ingin berjumpa di Pulau Indah, Jumaat lepas.

"Selepas diculik, suspek menghubungi seorang rakan mangsa meminta wang tebusan sebanyak RM10,000 namun selepas berunding suspek bersetuju dengan RM2,000," katanya.

Beliau berkata selepas wang tebusan dimasukkan ke dalam akaun bank seorang daripada suspek, mangsa dibebaskan dua hari kemudian di Seri Kembangan sebelum polis memberkas suspek.

"Mangsa yang telah dikurung di dalam sebuah kontena, cedera ringan akibat tangan diikat dan terdapat kesan pukulan," katanya.

Abd Razak berkata siasatan mendapati suspek warga Bangladesh itu mengetahui mangsa yang telah empat tahun bekerja di negara ini mempunyai wang dan akan kembali ke Bangladesh dalam masa terdekat.

"Bersama suspek polis merampas RM1,925 dipercayai wang tebusan serta sebuah kereta jenis Proton Saga BLM milik anggota Rela itu," kata Abd Razak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain