suria

Keluarga Penderma Jantung Sedih Terima Khabar Kematian Hui Yee

BATU PAHAT: Keluarga mendiang Chin Yoon Kiong, yang merupakan penderma jantung kepada Tee Hui Yee, melahirkan rasa sedih selepas menerima khabar kematian gadis berkenaan.

Chin Pak Siong, 53, bapa Yoon Kiong, berkata mereka sekeluarga dimaklumkan mengenai kematian Hui Yee kira-kira pukul 11 pagi ini oleh ibu gadis berkenaan. "Saya terkejut dan rasa sedih. Saya dan isteri dijangka tiba ke Batu Pahat untuk menziarahi keluarga Hui Yee, kira-kira pukul 10 malam ini," katanya ketika dihubungi, pada Selasa.

Pak Siong, yang memiliki bengkel membaiki motosikal di Kangkar Pulai, dekat Johor Baharu, berkata dia selalu bertanyakan khabar Hui Yee melalui telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) walaupun jarang berpeluang untuk berjumpa gadis itu.

Katanya kali terakhir mereka bertemu adalah pada Mac lepas di kediaman Hui Yee, di Kampung Parit Besar, di sini. Hui Yee, 19, disahkan meninggal dunia di Hospital Batu Pahat hari ini selepas mengadu sakit dada dan belakang sejak malam semalam.

Anak bongsu daripada empat beradik itu menjalani pembedahan pemindahan jantung yang pertama pada 4 Okt 2007 apabila keluarga seorang remaja lelaki Melayu dari Sitiawan, Perak bersetuju mendermakan organ anak mereka yang meninggal dunia akibat kemalangan.

Hui Yee kemudian terpaksa menjalani pembedahan pemindahan jantung yang disumbangkan Yoon Kiong, keesokan harinya selepas jantung pertama itu tidak sesuai dengan sistem badannya.

Keluarga Yoon Kiong pula membuat keputusan mendermakan jantung mendiang kepada Hui Yee selepas dia koma akibat kemalangan jalan raya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain