suria

Catherine Jelita, Sederhana - Dayang Syasyalina

KOTA KINABALU: Beliau jelita, merendah diri dan gemar tersenyum, sama seperti dalam kisah dongeng puteri.

Itu gambaran Dayang Syasyalina Ag Ramlan, 10, terhadap Duchess of Cambridge, Catherine Middleton.

Dayang Syasyalina antara individu bertuah yang dapat bertemu Catherine dan suaminya, Putera William sebelum pasangan diraja itu berlepas ke Kepuluan Solomon dan Tuvalu pada Ahad.

"Puteri sangat cantik. Beliau bertanya nama dan tempat saya bersekolah," kata pelajar SK Stella Maris itu.

Dayang Syasyalina merupakan di kalangan 20 penari yang terlibat melakukan persembahan pada majlis perpisahan untuk pasangan diraja Britain itu.

Putera William dan Catherine menghabiskan masa selama beberapa minit berbual dengan peminat mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum berlepas ke destinasi seterusnya.

Catherine kelihatan cergas walaupun jadual lawatan begitu padat dan mereka terpaksa berlepas seawal pukul 6.30 pagi ke Kepulauan Solomon.

Pasangan tersebut pada Ahad melawat Lembah Danum dan menghabiskan masa kira-kira tiga jam melihat keindahan kawasan hutan hujan tropika utama di Sabah itu.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman berkata, lawatan peribadi Putera William dan Catherine ke Lembah Danum berjaya menepis dakwaan oleh pengkritik bahawa aktiviti pembalakan haram semakin berleluasa di negeri itu.

"Mereka melihat sendiri hutan tersebut dilindungi dan mereka amat kagum," katanya ketika berucap dalam mesyuarat agung Umno Beaufort di sini, Ahad.

Beberapa kumpulan antarabangsa dan penulis blog mendakwa Sabah memusnahkan hutan untuk tujuan pembalakan haram di negara itu.

Artikel Lain