suria

Pengikrar Derma Organ Cuma 0.7 Peratus Daripada Jumlah Penduduk Malaysia

KUALA LUMPUR: Cuma 0.7 peratus penduduk di negara ini yang berikrar untuk menderma organ mereka dan jumlah ini terlalu sedikit jika dibandingkan dengan senarai menunggu pendermaan organ, iaitu 15,552 orang.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Tan Sri Lee Lam Thye berharap semua pihak, termasuk media, mempertingkat usaha memupuk kesedaran di kalangan rakyat negara ini berhubung perkara tersebut.

"Masyarakat perlu sedar mengenai kepentingan pendermaan organ. Ramai pesakit di luar sana amat memerlukan organ seperti mata, jantung, buah pinggang dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas bertemu petugas Pusat Sumber Transplan Nasional di sini.

Beliau berkata, jumlah pengikrar bagi menderma organ sehingga 31 Ogos lepas hanya 203,497 orang, dan beberapa inisiatif diambil untuk melahirkan sukarelawan menderma organ daripada golongan muda.

Sementara itu, Ketua Pengurus Klinikal Kebangsaan, Dr Fadhilah Zowyah Lela Yasmin berkata, seramai 15,521 orang memerlukan buah pinggang, hati (17 orang), jantung (lapan), paru-paru (tiga) dan jantung serta paru-paru masing-masing tiga orang.

"Bekalan yang ada sekarang hanya 19 buah pinggang, 14 hati, 36 mata, enam jantung dan tiga tulang," katanya.

Beliau berkata, sesiapa sahaja boleh menderma organ kerana ia tidak mempunyai syarat tertentu.

"Kami amat berharap banyak sukarelawan akan dapat menderma organ untuk membantu golongan yang memerlukannya," katanya.

Dr Fadhilah juga berkata, hanya organ sihat akan diambil apabila seseorang penderma meninggal dunia, selepas mendapat kebenaran waris. - BERNAMA

Artikel Lain