suria

Noh Omar: K'jaan Negeri Selangor Politikkan Projek Langat 2

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar mendakwa tindakan kerajaan negeri Selangor tidak mahu mengeluarkan kelulusan Perintah Pembangunan dan bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas projek loji rawatan Air Langat 2 (Langat 2) bertujuan mempolitikkan projek tersebut.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata kerajaan negeri sepatutnya tidak perlu bimbang mengenai projek itu kerana ia adalah untuk kepentingan rakyat.

"Pembangkang hanya tahu membantah sahaja tanpa memikirkan impak positif yang akan dihasilkan kelak oleh projek tersebut. Projek Langat 2 ini merupakan projek jangka masa panjang dan bukannya mengamalkan budaya kronisme dengan memberi projek tanpa tender terbuka seperti yang didakwa pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Agrobank Bhd (Agrobank) di sini, Khamis.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.

Noh berkata buat masa ini, BN Selangor menyerahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk mengambil tindakan selanjutnya dalam menyelesaikan isu Langat 2 itu.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail baru-baru ini berkata projek Langat 2 itu boleh diteruskan walaupun kerajaan negeri Selangor membantah, tidak mahu mengeluarkan Perintah Pembangunan dan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain