suria

Tipu Rakan, Pekerja Syarikat Guaman Dipenjara Dua Tahun & Sebat

PETALING JAYA: Seorang pekerja sebuah syarikat guaman dihukum penjara dua tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas 19 pertuduhan menipu rakan sekolahnya berhubung penjualan telefon bimbit Mac lalu.

Majistret Nor Afidah Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Afiq Mohd Yassin, 22, setelah dia menukar pengakuannya kepada bersalah selepas pertuduhan dibacakan pada Rabu.

Mohd Afiq, dari Seremban, Negeri Sembilan, didakwa memperdaya Nurfarahana Sadri, 22, dari Felda Palong, Negeri Sembilan, untuk mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan telefon bimbit rampasan kastam dengan harga RM120 seunit.

Ini mendorong Nurfarahana, seorang kerani, untuk memasukkan wang dengan 19 transaksi ke akaun Mohd Afiq sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM30,000.

Mohd Afiq didakwa melakukan 19 kesalahan itu antara 8 Mac dan 10 Jun di mesin ATM CIMB Bank di Subang Jaya, di sini.

Mohd Afiq didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon supaya hukumannya diringankan atas alasan dia penanggung tunggal keluarganya manakala Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

Di Mahkamah Sesyen pula, seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah membabitkan 124 kotak makanan sejuk beku bernilai RM11,000 milik majikannya, empat bulan lepas.

Roslaili Razab, 35, dari Bandar Putra, Klang, bersama seorang lagi yang dihadapkan ke mahkamah sebelum ini, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap syarikat Gold Cold Transport Sdn Bhd, di Lotus Consulting Group Sdn Bhd, No.35, Jalan PBS 14/2, Taman Perindustrian Bukit Serdang, Seri Kembangan, Serdang, pada 11 pagi, 30 Mei lepas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Ab Rashid menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Oktober untuk sebutan kes. - BERNAMA

Artikel Lain