suria

Seorang Maut, Tiga Cedera Motosikal Bertembung Di Jerantut

KUANTAN: Seorang pemuda terbunuh manakala dua parah selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung di Jalan Jerantut-Kota Gelangi 2, dekat Jerantut pada Isnin.

Khairul Azmi Zainuddi, 24, dari Felda Kota Gelangi 2, Jerantut mati di tempat kejadian akibat parah di dada dan kepala, sementara rakan yang membonceng motosikalnya Muhammad Azrul Jamaludin, 18, cedera ringan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dua lagi mangsa warga Indonesia yang dikenali sebagai Maat dan Buhari berusia lingkungan 20-an, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Bandar Pusat Jengka.

Ketika kejadian 7.45 malam itu, mangsa dan rakannya yang dalam perjalanan dari Lepar menuju ke Jerantut dipercayai menunggang laju sehingga hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal dinaiki warga Indonesia.

Mohamed Fauzi berkata siasatan awal mendapati kesemua mangsa tidak memakai topi keledar semasa kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain