suria

Lebih 100 Wartawan Asing Buat Liputan Lawatan Pasangan Diraja

PETALING JAYA: Di mana sahaja mereka pergi, pasti menjadi perhatian media, begitu juga lawatan sulung Putera William dan Kate Middleton di Malaysia.

Lebih 100 wartawan dan jurugambar dari Britain, agensi berita antarabangsa dan media asing akan membuat liputan dengan cara masing-masing sepanjang pasangan diraja ini berada di Malaysia bermula Khamis hingga Ahad ini.

Bagi Britain sendiri, wakil daripada kira-kira 60 organisasi media termasuk stesen televisyen dan akhbar akan berada di sini untuk membuat liputan.

"Media British termasuk BBC, ITN (Berita Televisyen Bebas) dan akhbar seperti Daily Mail dan The Sunday Telegraph akan datang ke Malaysia untuk membuat liputan ke atas lawatan pasangan diraja itu," kata sumber dari Suruhanjaya Tinggi British di sini.

Menurut sumber itu lagi, majalah seperti majalah selebriti Hello! turut dijadual akan membuat liputan.

Selain dari media British, media dari negara-negara lain seperti China, Indonesia dan Australia juga akan menghantar wakil mereka ke Malaysia.

Agensi berita antarabangsa seperti Reuters, AP dan Xinhua diberi kepercayaan yang tinggi untuk melaporkan peristiwa bersejarah membabitkan pasangan diraja ini.

Putera William dan Kate akan berada di Malaysia sebagai sebahagian daripada lawatan seluruh dunia meraikan 60 tahun pemerintahan Ratu Elizabeth II.

Kate dijangka membuat ucapan pertama di luar negara di Kuala Lumpur, di mana beliau turut akan membantu kakitangan dan pesakit di hospis Malaysia.

Pasangan diraja tersebut akan melawat Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum terbang ke Sabah.

Selepas itu, mereka akan ke Kepulauan Solomon pada 16 September bagi perjalanan tiga hari dan membuat persinggahan terakhir mereka di Tuvalu dari 18 hingga 19 September.

Artikel Sebelum

Artikel Lain