suria

Remaja 13 Tahun Tunggang Motosikal Tanpa Lesen Ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang remaja berusia 13 tahun yang cuba lari daripada sekatan polis kerana menunggang motosikal tanpa lesen adalah antara 10 penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi cegah lumba haram yang dijalankan di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) di sini malam Jumaat.

Ketua Operasi Unit Khas Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, ACP Khuzir Abd Majit berkata turut ditahan seorang lelaki berusia 30-an kerana memiliki dadah dipercayai jenis syabu serta menunggang motosikal dengan nombor pendaftaran palsu yang didaftarkan atas sebuah kereta.

"Lapan lagi penunggang ditahan setelah ujian air kencing mendapati mereka postif dadah dan kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Seri Kembangan untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini setelah operasi itu selesai.

Beliau berkata 200 motosikal diperiksa dan daripada jumlah itu 96 motosikal disita manakala 173 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Khuzir berkata operasi itu yang bermula 9 malam sehingga tengah malam turut disertai para pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

"Operasi bertujuan menyekat kegiatan lumba haram yang sering menjadikan lebuh raya ini sebagai gelanggang terutama ketika hujung minggu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain