Buruh Dipercayai Dera Anak Angkat Teman Wanita Hingga Mati Diburu Polis - Semasa | mStar

Buruh Dipercayai Dera Anak Angkat Teman Wanita Hingga Mati Diburu Polis

MELAKA: Seorang lelaki dipercayai mendera anak angkat teman wanitanya berumur enam tahun sehingga mati di Taman Telok Emas di sini.

Mangsa, Noor Sofia Syaqira disahkan meninggal dunia oleh doktor di Unit Kecemasan Hospital Melaka sebaik dihantar ke unit tersebut oleh ibu bapa lelaki terbabit untuk mendapatkan rawatan pada 7.55 pagi Ahad lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Supt P.R. Gunarajan berkata pemeriksaan awal mendapati mangsa yang dijaga sejak berusia dua bulan oleh wanita tersebut mempunyai banyak kesan dera lama dan baru termasuk lebam di seluruh anggota badan.

Beliau berkata hasil bedah siasat kemudian mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala, dada dan perut akibat dipukul dan ditumbuk.

Justeru katanya polis kini giat mengesan teman lelaki ibu angkat kanak-kanak terbabit, yang berusia 32 tahun, seorang buruh yang mempunyai alamat terakhir di Jalan Kampung Bandar Dalam, Gombak bagi membantu siasatan.

Gunarajan berkata lelaki terbabit juga dipercayai turut mendera anak perempuan teman wanitanya yang berusia 5 tahun.

Beliau berkata ibu mangsa yang merupakan seorang suri rumah dan tinggal bersama lelaki terbabit sejak berpindah ke Melaka pada April lepas kini ditahan reman bagi membantu siasatan sehingga 11 September depan.

Katanya siasatan awal mendapati suspek dibebaskan dari penjara Simpang Renggam pada 2008 dan mempunyai 14 rekod jenayah lampau termasuk empat kes dikehendaki polis melibatkan dadah dan samun di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan lelaki terbabit dengan menghubungi talian 019-6905585 (ASP R. Kumares) atau balai polis berhampiran. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Cybernetics Buang Pelajar Hina Pemimpin Negara

Artikel Berkaitan

Artikel Lain