suria

Tindakan Anwar Sampaikan Tazkirah Politik Jejas Keharmonian Masjid - Ahmad Bashah

ALOR SETAR: Tindakan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan masjid sebagai medan politik telah menganggu keharmonian institusi masjid, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata masjid tidak harus dicemari dengan aktiviti berpolitik dan perkara itu perlu dihormati oleh semua pihak. "Di Kedah, jemaah telah ada kesepakatan tidak rasmi bahawa masjid tidak harus dicemari dengan aktiviti berpolitik dan kesepakatan itu dihormati oleh semua pihak," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau mengulas kekecohan di Masjid Al-Hussin, Kampung Seberang Pumpong di sini Sabtu lepas ekoran bantahan khariah masjid berkenaan yang tidak bersetuju dengan tindakan Anwar menyampaikan tazkirah di situ.

"Saya difahamkan imam masjid telah berjanji dengan penduduk kampung bahawa Anwar hanya datang untuk sembahyang sahaja tanpa tazkirah tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Penduduk menyuarakan bantahan mereka kerana mahu mempertahankan kerukunan masyarakat serta tidak mahu masjid mereka dicemari dengan ceramah politik," katanya.

Beliau berkata kejadian di Masjid Al-Hussin itu harus menjadi pengajaran bahawa masjid tidak boleh dijadikan pentas politik mana-mana pihak. -BERNAMA

Artikel Lain