suria

AS Sampaikan Ucapan Selamat Hari Kemerdekaan Ke-55

KUALA LUMPUR: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton mewakili Presiden Barack Obama dan rakyat negara itu mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 pada Jumaat, kepada semua rakyat Malaysia.

Dalam kenyataan dikeluarkan Kedutaan Amerika Syarikat di sini Khamis, Clinton berkata beliau berharap, kerjasama terus dijalin bagi mengembangkan hubungan antara Washington-Kuala Lumpur dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan kebudayaan, demi membawa kemakmuran yang lebih besar kepada rakyat, kedua-dua negara.

"Ketika anda meraikan hari istimewa ini, ketahuilah bahawa Amerika Syarikat adalah rakan kongsi dan kawan. Saya mengucapkan kepada semua rakyat Malaysia di seluruh dunia, Selamat Hari Kemerdekaan," katanya.

Dalam kenyataan itu, Clinton juga berkata Amerika Syarikat dan Malaysia berkongsi hubungan kukuh sebagai sebuah keluarga dan kawan.

Beliau berkata tahun ini, kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-50 program 'Peace Corps Programmme' di Malaysia, satu program yang disifatkan beliau telah meletakkan asas persahabatan dan muhibah antara rakyat kedua-dua negara.

"Kami berbangga dengan 'Fulbright English Teaching Assistant Programme' yang membawa bakat muda Amerika untuk membantu penggajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia," tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Lain