suria

Trafik Sesak Sejak Pagi

KUALA LUMPUR: Keadaan trafik di lebuh raya utama negara dilaporkan bergerak perlahan dan sesak di beberapa lokasi berikutan jumlah kenderaan bergerak meninggalkan ibu negara mula bertambah sempena Aidilfitri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan aliran trafik ke arah selatan tanah air perlahan dari Putra Mahkota ke Seremban sejak pukul 8 pagi ini.

Menghala ke utara, beliau berkata trafik dilaporkan bergerak perlahan dari Bukit Beruntung ke Bukit Tagar dan Slim River ke Sungkai.

Jurucakap itu juga melaporkan keadaan trafik dari Terowong Menora ke Kuala Kangsar sesak berbelas-belas kilometer berikutan terdapat satu kemalangan melibatkan tiga buah kereta dalam terowong tersebut.

"Trafik juga perlahan sebelum hentian sebelah Bukit Gantang ke Changkat Jering," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Jurucakap itu berkata aliran trafik di Lebuhraya Karak dari Tol Gombak ke Terowong Karak turut dilaporkan sesak sejak pukul 6 petang semalam.

"Dari Terowong Karak ke Plaza Tol Bentong bergerak perlahan sepanjang 20km," katanya sambil menambah aliran trafik di lebuh raya utama keluar dari ibu negara masih terkawal.

Di Tambak Johor dari Singapura menghala ke Johor Baharu, trafik dilaporkan sesak sepanjang 3km.

Artikel Sebelum

Warga Iran Maut Ditikam

Artikel Berikut

Artikel Lain