suria

Suami Isteri Menyamar Penguat Kuasa Ditahan, Dua Pistol Tiruan Dirampas

KUALA LUMPUR: Dua pasangan suami isteri yang dipercayai menyamar sebagai pegawai penguat kuasa ditahan bersama dua pucuk pistol tiruan untuk tujuan jenayah dalam dua serbuan berasingan di Ampang di sini, Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Amiruddin Jamaluddin berkata dalam serbuan pertama pada 12.30 tengah hari di Jalan Memanda di sini, polis menahan pasangan suami isteri berumur 41 dan 27 tahun dan menemui sepucuk pistol tiruan, dua kad kuasa Kastam, satu kad identiti tentera, satu kad kuasa Majlis Amal Cegah Jenayah dan satu kad Majlis Sukan Negeri Perak.

"Turut ditemui dadah jenis syabu seberat 0.18 gram, dipercayai untuk kegunaan sendiri pasangan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini, Rabu.

Amiruddin berkata polis kemudian menahan rakan mereka, yang juga pasangan suami isteri berusia 39 tahun di sebuah rumah di Ukay Perdana pada 11 malam serta merampas sepucuk pistol tiruan jenis yang sama bersama gari, perenjat elektrik dan topeng muka.

"Dengan tertangkapnya empat individu ini, polis percaya telah menyelesaikan beberapa kes membabitkan penyamaran sebagai pegawai penguat kuasa," katanya. Sementara itu polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun, dipercayai ahli kumpulan 'Geng Koolooi' yang aktif mencuri kereta dalam serbuan di sebuah bengkel kereta di Kampung Melayu, di sini pada 9.30 malam, Rabu lepas.

Turut dirampas lima kereta jenis Proton dan tiga enjin serta beberapa komponen kereta yang telah dileraikan.

"Kereta-kereta berkenaan dipercayai dicuri pada tahun 2009 hingga 2011 dan polis masih memburu dua lagi rakan suspek yang dipercayai terlibat dalam aktiviti itu," katanya.

Suspek kini ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Kota Mula Balik Raya

Artikel Lain