suria

Rayuan Akhir Ditolak, Warga Afghanistan Diserah Kepada Australia

PUTRAJAYA: Seorang warga Afghanistan akan diserah kepada Australia untuk menghadapi 25 tuduhan menyeludup manusia setelah rayuan akhirnya untuk mendapatkan writ habeas corpus pembebasannya, ditolak.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Said Mir Bahrami untuk mendapatkan writ habeas corpus.

"Kami dapati tidak ada sebab kami patut mengganggu dapatan Mahkamah Tinggi," kata Hakim Raus, yang mempengerusikan panel lima anggota itu, yang sebulat suara menolak rayuan Said Mir.

Said Mir, yang diberi status orang pelarian di Indonesia, dikehendaki kerajaan Australia kerana didakwa terlibat mengatur dan menyediakan kemudahan untuk pendatang tanpa izin memasuki negara itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengeluarkan perintah bertulis mengikut Seksyen 20 Akta Ekstradisi 1992 untuk memudahkan proses penghantaran Said Mir, berdasarkan perjanjian ekstradisi antara Malaysia dan Australia.

Penjual karpet Said Mir, 40, ditangkap pada 5 Ogos di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur dan ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Pada 19 Disember tahun lepas, Mahkamah Sesyen mengeluarkan perintah agar dia diserahkan kepada Australia.

Pada 13 Januari, Said Mir memfailkan permohonan untuk mendapatkan habeas corpus dengan menamakan Pengarah Penjara Sungai Buloh sebagai responden dan mendakwa perintah ekstradisi terhadapnya tidak memenuhi syarat yang terkandung dalam Seksyen 20 Akta Ekstradisi.

Dalam afidavitnya, Said Mir berkata dia tidak tahu menahu tentang dakwaan penglibatannya dalam kegiatan menyeludup pendatang asing melalui Indonesia seperti yang terkandung dalam 25 tuduhan yang dihadapinya.

Said Mir mendakwa bukti yang dikemukakan kepada mahkamah tidak mencukupi, terutama berkaitan gambar yang digunakan untuk mengenal pastinya sebagai orang yang menjalankan operasi dengan nama Mohandes, Regi, Saidamir, Haji, Asadi dan Raouf.

Pada 24 April, Mahkamah Tinggi menolak writ habeas corpus Said Mir.

Terdahulu, dalam hujahnya, peguam Karpal Singh, yang mewakili Said Mir berkata perintah ekstradisi berkenaan mempunyai kecacatan kerana tidak terdapat bukti dalam bentuk afidavit daripada orang yang didakwa diseludup Said Mir bahawa dia (Said Mir) adalah orang yang terlibat dalam kegiatan itu.

Bagaimanapun, dalam hujahnya, Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badarudin berkata pendatang yang diseludup mengenal pasti Said Mir sebagai orang yang terlibat menyeludup mereka melalui gambar yang ditunjukkan kepada mereka.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Kota Mula Balik Raya

Artikel Lain