suria

Pistol, Bom Tangan Antara Dirampas, Empat Warga Asing Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis merampas pelbagai jenis senjata tajam dan senjata api, terbesar di sini setakat ini, berikutan penahanan empat warga asing dalam serbuan di sebuah kondominium di Petaling Indah, Isnin lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata senjata api yang dirampas adalah sepucuk pistol automatik jenis Colt Magnum .22 berserta magazin berisi tujuh peluru hidup.

Turut dirampas 59 butir peluru hidup pelbagai jenis termasuk peluru .38 untuk pistol Revolver dan sebutir bom tangan.

Sementara senjata tajam yang dirampas dalam serbuan pada 4.30 petang itu adalah pelbagai jenis pisau, kerambit, buku lima, parang dan pedang samurai.

"Serbuan hasil maklumat orang ramai ke atas sebuah unit kondominium yang dihuni dua lelaki Singapura dan dua wanita warga China dan Vietnam berusia antara 25 hingga 39 tahun itu turut menemui dadah jenis Ketamin seberat 88.49 gram serta 1941 biji Ecstasy, yang dianggarkan bernilai RM100,000," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Mohmad berkata, siasatan menjurus sama ada kesemua tahanan itu terlibat dalam kegiatan kongsi gelap berikutan penyimpanan senjata berbahaya dalam jumlah yang banyak.

Katanya ujian air kencing ke atas semua suspek didapati positif dadah dan mereka yang mengenali antara satu sama lain itu, telah berada di negara ini antara tiga minggu hingga sebulan.

Beliau berkata berikutan penahanan keempat-empat warga asing itu, polis turut merampas dua buah kereta mewah, Chevrolet Optra dan Volvo S80 yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan dan Singapura.

Turut dirampas ialah beberapa peralatan komputer, telefon bimbit pelbagai jenis dan beberapa dokumen peribadi, katanya.

Menurut Mohmad, semua suspek ditahan reman sehingga Ahad depan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 8A Akta Senjatapi 1960, Seksyen 8A Akta Senjatapi (penalti lebih berat) 1971 dan Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Kota Mula Balik Raya

Artikel Lain