suria

Kertas Siasatan Kes Kanak-Kanak Mati Ditindih Siap

BUKIT MERTAJAM: Polis telah menyerahkan kertas siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang mati akibat ditindih di Bukit Minyak baru-baru ini kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah berkata kertas siasatan itu diserah semalam dan kini terpulang kepada pihak pendakwa raya untuk mendakwa lapan individu berusia antara 20 dan 60 tahun yang terlibat dalam kes tersebut.

"Polis merekodkan keterangan daripada 15 saksi untuk melengkapkan kertas siasatan," katanya kepada pemberita, di sini, Selasa.

Dalam kejadian 5 Ogos lepas, Chuah Wan Xuan, menjadi mangsa satu ritual pelik apabila ditindih sehingga mati oleh lapan orang dewasa yang terdiri daripada anggota keluarga dan seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Kejadian menyayat hati itu berlaku di sebuah rumah dua tingkat milik keluarga tersebut di Taman Bukit Minyak, Bukit Tengah dekat sini, yang dipercayai bermula dari pukul 2 pagi hingga 10 malam.

Sementara itu, Azman berkata siasatan polis mendapati kejadian berpunca daripada ibu saudara mangsa yang mendakwa dia gagal 'berkahwin' dengan dewa yang menjadi kepercayaan mereka, menyebabkan dewa berkenaan cuba merasuk kanak-kanak tersebut.

"Semua ahli keluarga berkenaan cuba mempertahankannya (mangsa) daripada dirasuk dengan menindih dia hingga mati," katanya. BERNAMA

Artikel Lain