suria

Dua Parah Akibat Mercun Di Kelantan

KOTA BAHARU: Seorang lelaki dan seorang pelajar perempuan cedera parah akibat terkena mercun di negeri ini, Selasa.

Mohd Azril Norahaidi, 22, dari Kampung Gaung cedera parah di mata kanan apabila 20 butir mercun bola yang dijemur meletup ketika dia memungutnya di rumah bapanya di Kampung Paloh, Pasir Mas.

Kejadian pada pukul 11 pagi itu turut menyebabkan Mohd Azril cedera di mata kiri, tangan dan hampir keseluruhan badannya. Isterinya, Mastura Ilham, 24, berkata Mohd Azril kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini dan keadaannya kini stabil.

Beliau berkata mercun yang dipungut suaminya itu dijemur oleh adiknya di atas atap zink selepas basah terkena hujan.

"Mungkin kerana terlalu panas, mercun itu tiba-tiba melatup sebaik suami saya memungutnya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di wad kecemasan HRPZ II, di sini.

Sementara itu, pelajar perempuan Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat cedera parah di kedua-dua pahanya apabila mercun buatan sendiri yang dibaling rakannya meletup pada pukul 2.20 petang ini.

Zaidatul Anis Adnan, 15, dikatakan sedang mengambil basikal untuk pulang selepas waktu persekolahan apabila tiba-tiba mercun yang dimasukkan ke dalam botol kaca meletup.

Pelajar itu kini dirawat di HPRZ II. Pegawai Perhubungan Awam HPRZ II Zaid Ahmad berkata pihak hospital menerima 14 kes kecederaan akibat mercun sejak awal Ramadan. - BERNAMA

Artikel Lain