suria

Queen Dipenjara 15 Tahun Miliki Dadah Di KLIA

SHAH ALAM: Seorang wanita warga Nigeria dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini Isnin selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 2,881 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memerintahkan Queen Amaechi Iwuala, 39, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia tangkap iaitu 22 Oktober 2010.

Iwuala didakwa melakukan kesalahan itu di Pintu 5, Aras 3, Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA, kira-kira pukul 3.50 petang pada 22 Oktober 2010.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum seumur hidup dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Sebelum ini, Iwuala mengaku tidak bersalah atas pertuduhan asal iaitu mengedar mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun mengaku bersalah selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan.

Terdahulu, peguam K. A. Ramu yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang telah kematian suami mempunyai seorang anak perempuan berumur 13 tahun, yang kini dijaga oleh kakaknya.

Beliau berkata Iwuala yang bekerja sebagai tukang cuci melakukan kesalahan itu disebabkan faktor kemiskinan.

Timbalan Pendakwa Raya Yong Leou Shin yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhi hukuman maksimum atas alasan kesalahan dilakukan tertuduh serius.

Beliau berkata berdasarkan statistik Kementerian Dalam Negeri pada 2005, sebanyak 60 peratus penghuni pusat pemulihan di Sabah merupakan pesalah dadah jenis Methamphetamine. - BERNAMA

Artikel Lain