suria

PM Ucap Syabas Kejayaan Pandalela Raih Pingat Olimpik

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan syabas kepada ratu terjun negara Pandelela Rinong kerana meraih pingat gangsa Olimpik dalam acara platform 10 meter wanita sekali gus meletakkan penerjun itu sebagai atlet wanita pertama negara memenangi pingat Olimpik.

"Pagi tadi, saya terima berita menggembirakan dari temasya Sukan Olimpik. Olahragawati negara, Pandelela Rinong anak Pamg berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara terjun platform 10 meter wanita.

"Syabas Pandelela!" katanya dalam entri terbaru laman Facebook beliau Jumaat.

Sehingga pukul 1 tengah Jumaat, lebih 12,000 rakan Facebook Najib menyukai (like) entri tersebut dan mengucapkan tahniah kepada penerjun kelahiran Sarawak itu di atas kejayaan beliau mengharumkan nama negara.

Dalam entri facebook itu, Najib juga yakin Pandelela akan terus menunjukkan peningkatan prestasi di tahun-tahun akan datang.

"Dalam usia muda beliau, saya yakin Pandelela akan terus menunjukkan peningkatan prestasi di tahun-tahun akan datang," katanya.

Dalam tweetnya pula, Najib memuji persembahan Pandelela.

"Great performance by Pandelela. First Malaysian woman to win an Olympic Medal. Syabas dan tahniah!".

Selepas bermula agak hambar pada terjunan pertama, Pandelela bangkit semula dalam empat lagi percubaan untuk mengumpul 359.20 mata, di belakang juara bertahan Chen Ruolin dari China (422.30 mata) dan pemenang pingat perak, Brittany Broben dari Australia yang mengumpul 366.50 mata.

Ia merupakan pingat kedua negara buat Malaysia selepas jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menyumbang pingat perak dalam acara perseorangan lelaki, Ahad lalu.

Kejayaan Pandelela itu juga, sehingga kini, menyamai pencapaian kontinjen negara dalam edisi 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat dengan membawa pulang sebutir pingat perak dan satu gangsa.

Pencapaian Pandelela itu juga memecah dominasi sukan badminton yang sebelum ini menyumbangkan dua pingat perak dan dua gangsa, sejak Malaysia pertama kali menyertai temasya sukan terbesar dunia, bermula di Melbourne pada 1956.

Pada Sukan Olimpik Seoul 1988, atlet taekwondo wanita M. Vasugi pernah menerima pingat gangsa, namun pada ketika itu taekwondo adalah sukan demonstrasi, maka pungutan pingatnya tidak termasuk dalam senarai pungutan pingat rasmi Olimpik. - BERNAMA

Artikel Lain