suria

KDN Galak Pusat Beli Belah Guna Khidmat Polis Bantuan

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggalakkan kompleks beli belah di negara ini menggunakan khidmat polis bantuan bagi meningkatkan tahap keselamatan di premis masing-masing.

Timbalan Menterinya, Datuk Abu Seman Yusop berkata kuasa polis bantuan yang tertakluk di bawah Akta Polis 1967 lebih berkesan dalam menjaga keselamatan awam berbanding pengawal keselamatan biasa.

"Polis bantuan mempunyai kuasa yang lebih untuk menahan dan menyoal siasat individu yang disyaki sebelum diserah kepada polis berbanding pengawal keselamatan yang hanya boleh melakukan 'citizen's arrest'," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra lebih sejam di pusat beli belah Mid Valley Megamall di sini Isnin.

Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh dan Pengarah Eksekutif Mid Valley City Sdn Bhd, Daniel Yong Chen-I.

Abu Seman berkata hanya warga Malaysia boleh menjadi anggota polis bantuan dan pusat beli belah yang berminat untuk menubuhkan unit polis bantuan boleh membuat permohonan kepada KDN.

Dalam pada itu, Mohmad berkata buat masa ini, khidmat polis bantuan hanya digunakan oleh agensi kerajaan, syarikat milik penuh kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

"Ada juga syarikat swasta yang mendapatkan khidmat polis bantuan seperti pelabuhan, Pos Malaysia dan sesetengah kompleks beli belah. Di Kuala Lumpur, tidak banyak kompleks beli belah gunakan khidmat polis bantuan ini," katanya.

Beliau berkata Kuala Lumpur City Centre sudah lama menggunakan khidmat polis bantuan manakala unit polis bantuan untuk gedung Pavilion akan tamat latihan bulan depan, manakala permohonan Mid Valley sedang diproses.

Sementara itu, Yong Chen-I berkata kos menubuh dan menggunakan khidmat unit polis bantuan di Mid Valley tidak begitu signifikan berbanding khidmat kira-kira 600 pengawal keselamatan biasa sekarang.

"Kos bukan faktor utama kerana keselamatan pengunjung kami adalah lebih penting," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain