suria

Pengusaha Bas Diminta Hubungi SPAD Jika Perlu Laluan Tambahan

KUALA LUMPUR: "Pengusaha bas perlu menemui kami dan mencadangkan kepada kami jika mereka memerlukan laluan tambahan".

Itu adalah nasihat pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar kepada pengusaha bas berhubung keperluan laluan bas dalam kawasan hospital.

Setakat ini SPAD tidak menerima sebarang cadangan mengenai perkara itu, malah tidak ada pengusaha bas yang datang berjumpa SPAD untuk mencadangkan laluan tambahan dalam kawasan hospital kerajaan, kata Syed Hamid ketika ditemui pada majlis berbuka puasa baru-baru ini.

Mengenai tindakan lanjut SPAD berhubung perkara itu, Syed Hamid berkata jika SPAD menerima cadangan daripada pengusaha bas mengenai laluan baru, SPAD terlebih dahulu perlu mengkaji cadangan itu untuk melihat sama ada ia boleh dilaksana atau tidak.

Sementara itu, Pengurus Media Syarikat Prasarana Negara berhad (Prasarana) Azhar Ghazali memberitahu Bernama bahawa hospital kerajaan sepatutnya mempunyai kemudahan akses untuk orang awam.

"Sistem pengangkutan awam, jika boleh, mesti memasukkan laluan di hospital kerajaan dalam perkhidmatannya".

Ditanya mengenai pandangan Prasarana sama ada bas-bas awam perlu dibenar mempunyai laluan di dalam kawasan semua hospital kerajaan dan bukan hanya di luar kawasan itu, Azhar berkata: "Prasarana sentiasa terbuka kepada cadangan untuk perkhidmatan yang lebih baik, tetapi semua laluan di bawah bidang kuasa SPAD".

Seorang pengguna, Norafidah Abdullah, 30, ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh berkata hospital-hospital kerajaan di Malaysia terkenal dengan kelengkapan terkini, petugas dan jururawat yang mahir dan berpengalaman, serta mutu perkhidmatannya.

"Di sebalik usaha Kementerian Kesihatan untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik untuk rakyat Malaysia, ada satu kemudahan penting yang kurang iaitu akses kepada pengangkutan awam terutama perhidmatan bas yang berkesan," katanya.

Seorang pesakit di Hospital Serdang, Yasmin Junid, 59, berkata pada masa ini kebanyakan pengusaha bas hanya mempunyai laluan di luar pagar hospital yang biasanya jauh daripada pintu masuk bangunan menyebabkan pesakit terpaksa berjalan agak jauh untuk mendapatkan rawatan dan pulang.

Yasmin berkata kebanyakan hospital mempunyai perkhidmatan teksi tetapi tidak semua orang mampu menaiki teksi. - BERNAMA

Artikel Lain