suria

Dua Jurufoto Diserang Ketika Sedang Bertugas Di Mahkamah

BUKIT MERTAJAM: Dua jurufoto dari akhbar Guan Ming Daily dan The New Straits Times (NSTP) diserang oleh lelaki yang tidak dikenali ketika membuat liputan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, di sini pagi Rabu.

Pada kejadian pukul 9.15 pagi itu, Lim Lean Hin dari Guan Ming Daily cedera di leher akibat dicekik oleh lelaki terbabit manakala Mohamad Danial Saad dari NSTP pula bergelut setelah kameranya cuba dirampas.

Lim, 33, berkata lelaki berusia 40-an itu dipercayai tidak berpuas hati kerana menyangka beliau dan Mohamad Danial mengambil gambarnya sedangkan mereka merakamkan foto orang lain yang terlibat dalam satu kes di mahkamah.

"Lelaki terbabit secara tiba-tiba memarahi kami sambil menuding dan cuba merampas kamera Mohamad Danial tetapi tidak berjaya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.

Kataya, lelaki itu kemudiannya terus mencekik beliau sambil mengugut akan bertindak lebih teruk jika mereka tidak memadamkan gambarnya dalam kamera.

Lim berkata, lelaki terbabit kemudiannya melepaskan cekikan setelah Mohamad Danial memberi jaminan bahawa mereka akan memadam gambar yang diambil.

"Lelaki itu juga ada merakam gambar saya dan rakan media lain dan memberi ugutan supaya kami berhati-hati di luar," katanya.

Beliau yang mengalami kecederaan lebam dan calar di bahagian leher berkata kejadian itu merupakan yang pertama kali berlaku kepadanya dan berharap ia tidak berulang.

Mohamad Danial, 27, berkata beliau tidak mengalami kecederaan tetapi bimbang keselamatannya dan berharap polis dapat mengambil tindakan segera. Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPT ACP Azman Abd lah ketika dihubungi berkata siasatan sedang dijalankan terhadap kes itu. - BERNAMA

Artikel Lain